Selasa, 20 April 2010

7 Cara Mudah Membuat Rakan Facebook Suka Dan Selesa Dengan Kita

Pemasaran menggunakan Facebook atau laman web sosial yang lain, adalah sedikit berbeza dengan cara-cara yang lain. Ini kerana, pemasaran sosial sebegini adalah lebih kepada bentuk ‘komuniti’. Kita tidak boleh ikut suka hati sendiri sahaja atau hentam keromo.

Di Facebook, terdapat banyak cara untuk membuatkan orang sukakan kita atau dalam sebutan yang lebih enak, orang amat selesa dengan diri kita. Perkara ini amat penting di dalam bisnes iaitu seboleh mungkin, kita mahu elakkan seseorang ‘terluka’ akibat cara yang kita gunakan.

Di sini, saya senaraikan 7 cara yang boleh membuatkan rakan-rakan di Facebook selesa, suka, tersenyum, gembira dan sayangkan kita:

Cara 1. Jika mereka menulis sesuatu di bahagian status, memuat-naik sebarang imej atau menulis sesuatu di bahagian Notes, klik pada Like. Hanya semudah itu. Jika merasakan tidak pasti dapat memberikan komen terbaik, klik pada Like pun sudah memadai.

Semakin banyak jumlah Like yang diberikan kepada rakan lain, semakin gembira rakan FB tersebut. Dan kita semakin kerap klik Like, mereka semakin mengenali dan 'menyukai' diri kita.


Cara 2. Berikan komen atau pendapat yang bernas dan membuatkan mereka gembira. Elakkan memberikan pendapat yang bertentangan dengan kata-kata mereka walaupun kita boleh melakukan sedemikian. Pendek kata, sokong sahajalah benda yang baik dan betul. Bukan perlu dibayar pun. Malah, kita di FB adalah untuk mencari ‘kawan’, bukan lawan.

Contoh Komen Yang Positif


Cara 3. Apabila mereka ada menulis sesuatu pada bahagian Notes, kongsikan artikel (Notes) itu dengan menggunakan fungsi SHARE. Rugikah melakukan hal ini? Bukankah ’sharing itu caring’… (Kalau ikhlas, dapat pahala).

Dengan menyebarkan tulisan mereka, betapa berterima kasih dan sukanya mereka terhadap kita.

Cara 4. Elakkan mesej atau sebarang tulisan yang berbentuk mengajar-ngajar orang lain seperti hanya kita yang betul dan orang lain salah. Contohnya:

“Kepada anda semua, Facebook, Facebook juga, sudah solat atau belum? Tidak baik lambat-lambatkan solat ok. Jangan lalai sangat dengan FB ni.”

Walaupun mesej di atas adalah baik dan bermanfaat, tetapi keburukannya adalah:

  1. Ahli FB lain akan terasa seperti dibodoh-bodohkan umpama mereka tidak tahu hal ehwal solat dan tidak sensitif terhadap hal Agama.
  2. Orang akan melihat kita sebagai orang yang riak kononnya hanya kita yang betul dan orang lain buruk-buruk belaka.
  3. Kelak apabila kita sendiri terbuat silap, padahnya akan terpalik semula ke muka kita. Jangan terlalu menunjuk pandai. Berpada-pada itu jalan terbaik.

Jadi, bagaimana mahu berkongsikan pesanan yang baik-baik atau kata-kata peringatan seperti yang saya contohkan di atas? Caranya adalah:

  1. Kongsikan informasi atau dalam ayat yang ‘pasif’. Contohnya: “Orang-orang yang menjaga solatnya, akan dijaga dirinya oleh Allah SWT.” Contoh lain: “Allah meletakkan orang yang menjaga solat pada kedudukan yang terbaik di sisiNya.”
  2. Tulis mesej dalam bentuk kata-kata atau dialog. Contoh:

Sebelum ustaz kesayangan kami menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau sempat berpesan, “Kamu jagalah solat fardhu sebaik-baiknya, jika kamu mahu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Contoh bentuk dialog yang saya lakukan:

Dialog ini tidak ditujukan terus kepada rakan-rakan di FB walaupun tujuan sebenar adalah mahu menyampaikan mesej berkaitan kepada mereka.


Mungkin ada yang tertanya, adakah mesej berbentuk di atas akan sampai kepada pembaca? Jawab saya:

  1. Kita perlu tahu bahawa, di Facebook (rakan di senarai kita) ada pelbagai golongan. Ada ustaz, penulis buku, orang-orang lebih berusia daripada kita, ahli-ahli Agama, motivator dan pelbagai lagi. Secara asasnya, mereka adalah orang yang baik. Jadi apa kesannya jika kita mengajar-ngajar mereka? Maka sudah memadai sampaikan mesej dalam bentuk informasi sahaja seperti yang saya nyatakan di atas. Cara itu sungguh enak dan sedap dibaca.
  2. Jika mahu menegur dalam bentuk terus (direct), hubungi sahaja individu berkaitan melalui Inbox (mesej peribadi). Elakkan menulis secara terbuka. Jika mahu juga, gunakan cara kedua di atas (bentuk kata-kata). Contohnya:

Saya telah menasihati seseorang melalui mesej peribadi (Inbox) dengan berkata begini: “Saudara. Facebook adalah tempat untuk berkenal-kenalan dan saling berkongsi sesuatu informasi. Tetapi jikalau saudara melakukan SPAM di Wall saya atau melalui Inbox saya, adakah matlamat utama kita berkawan akan tercapai? Saya mohon saudara tidak melakukan SPAM lagi terhadap saya atau mana-mana ahli Facebook yang lain.”

Dengan cara di atas, orang lain yang membaca tidak akan terasa hati atau bersalah sangka terhadap kita kerana mereka faham bahawa, teguran dan mesej itu adalah bukan untuk mereka. Tetapi dalam masa yang sama, semua yang membaca akan mengambil pelajaran.

Cara 5. Menulis sesuatu yang santai yang boleh membuat orang gembira, boleh turut serta atau membuat mereka sedikit ketawa atau ceria. Cara ini akan menyebabkan hubungan akan terjalin dengan lebih baik. Contoh sebenar yang saya lakukan:

Dalam masa 19 minit, 21 buah 'interaksi' telah berlaku di antara saya dan rakan-rakan yang lain.


Cara 6. Dalam keadaan tertentu, sebutkan (tag) nama seseorang atau beberapa orang pada bahagian Status (post). Sedikit sebanyak cara ini akan membuatkan mereka rasa dihargai dan akan menjadikan kita lebih dekat dengan mereka. Pastikan lakukan dengan ikhlas, dan bukan semata-mata mahu mengambil perhatian mereka atau ada tujuan tersirat (udang di sebalik batu).

Contoh yang saya lakukan:

Hanya 6 nama sahaja boleh di-tag pada satu post status.


Bagaimanakah cara untuk Tag nama rakan FB? Tonton video berikut:

Pautan ke Video:http://www.facebook.com/video/video.php?v=181273154593

Cara 7. Mengucapkan tahniah dan doakan kebaikan andai mereka menulis sesuatu mengenai kejayaan yang mereka perolehi. Jika mereka mengeluh perasaan, berikan kata-kata atau doa yang baik pada bahagian komen. Jika mereka bertanyakan sesuatu, jawablah sebaik mungkin.

Terjadi satu kes di mana, ada seorang ahli FB meminta pandangan dengan ahli FB yang lain, bagaimana beliau boleh menambah semangat perjuangan hidupnya. Lantas ada seorang ahli FB mengkritik dengan berkata, tidak perlu meminta pandangan orang lain, malah turut mengkritik si penanya.

Akibatnya, saya tidak pasti apa yang dirasai oleh si penanya. Mungkin rasa kecewa. Sepatutnya dalam keadaan tersebut, ahli-ahli (kawan) yang lain perlulah tiupkan semangat atau memberi tip kepada dirinya di saat beliau memerlukan kekuatan. Bukan menambah beban di hatinya.

Kesimpulan

Itulah tujuh cara atau kaedah mudah, bagaimana kita boleh membuatkan orang lain yang mengikuti kita di Facebook sukakan kita, sayangkan kita, rindukan kita dan selesa dengan kita.

Akhir kata, semua cara di atas adalah selaras dengan konsep komunikasi sesama manusia sebenarnya. Dan cara-cara di ataslah sebenarnya di antara kaedah bersosial di laman web sosial. Tidak kisahlah kita di Facebook, forum atau blog, seboleh mungkin kita cuba yang terbaik selagi ada nafas untuk melakukannya.

Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan: